Saturday, May 14, 2011

Tujuan Penubuhan Kelab Penulis KDM

Perbincangan serius dan berfokus telah menghasilkan hala tuju Kelab Penulis KDM ini. Pada umumnya, tujuan pnubuhan Kelab Penulis KDM  adalah untuk:
a. Mendaulatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan;
b. Mendukung dan memajukan sastera dan bahasa etnik Kadazan Dusun dan Murut;
c. Membantu menjayakan program perpaduan dan integrasi nasional;
d. Menggalakkan perkembangan pengetahuan, kemahiran, serta kemajuan diri ahli-ahli Kelab; dan,
e. Menganjurkan pelbagai aktiviti kesusasteraan, bahasa, dan kebudayaan etnik KDM.

Pada pertemuan akan datang, Perlembagaan Kelab Penulis KDM akan dibincangkan dengan lebih terperinci.

Pandangan Depan: Ony Latifah, Welin, Kuniah, anak Welin (turut hadir)

Ahli mesyuarat komited membincangkan Tujuan Penubuhan Kelab Penulis KDM

Penulis wanita dari suku kaum Tatana dan Murut (Angela dan Rita)

En. Henry Bating

Keanggotaan Kelab
Dari segi keanggotaan, Kelab Penulis KDM terbuka kepada semua orang dari etnik KDM tanpa mengira suku, bahasa, anutan agama dan kepercayaan. Para penulis KDM dialu-alukan menyertai Kelab ini.

Senarai Jawatankuasa

Senarai AJK Kelab Penulis KDM 2011
Duduk (dari kiri): Rita, Henry, Daniel Jebon, Angela
Berdiri (dari kiri): Ony Latifah, Katherina,Witer, Cliff, Kuniah, Welin

Pertemuan bersejarah pada 9 April 2011 telah sebulat suara membentuk Ahli Jawatankuasa Kelab Penulis KDM seperti berikut:

Pengerusi   : Daniel Jebon Janaun
Timbalan Pengerusi  : Henry Bin Bating
Setiausaha   : Rita Robert Rawantas
Bendahari   : Angela Engkuan

Pegawai Perhubungan (DBP): Cliff A. Kamijan

Ahli Jawatankuasa
• Witer Bin Gunik
• Ony Latifah Osman
• Welin Ebal 
• Kuniah @ Anthonia Bt. Gilung
• Katherina Tati
Syabas dan tahniah kepada AJK yang telah dipilih.

Latar Belakang Penubuhan

Penubuhan Kelab Penulis KDM telah direalisasikan melalui pertemuan sepuluh orang penulis KDM pada 9 April 2011 di Sudut Penulis, Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah. Menurut En. Daniel Jebon Janaun, sebagai perantara dalam pertemuan tersebut, kelab penulis KDM wajar ditubuhkan memandangkan masyarakat KDM daripada pelbagai suku kaum kaya dengan kebudayaan, kesenian, dan kesusasteraan. Penulis memainkan peranan yang penting dalam membina minda masyarakat. Kelab ini akan dapat memperkasakan sastera kebangsaan dan sastera etnik sekali gus. Sehubungan itu, beliau mencadangkan agar Kelab Penulis KDM ini bernaung di bawah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sesuai dengan fungsi, peranan, dan tanggungjawab DBP sebagai organisasi yang menjaga bahasa, kesusasteraan, kebudayaan Melayu dan etnik di negara ini.

Berikutan dengan cadangan tersebut, En. Cliff  A. Kamijan dari Dewan Bahasa dan Pustaka, Cawangan Sabah menjelaskan bahawa Kelab ini wajar diwujudkan kerana kaum yang lain seperti Melayu,  India, dan Cina sudah mempunyai persatuan penulis yang mantap. Misalnya, masyarakat India mempunyai Kavyan, yang penulisnya menulis dalam bahasa Melayu. Demikian juga dengan masyarakat Cina yang mempunyai  persatuan Mahua yang menulis dalam bahasa Melayu. Mahua bernaung di bawah DBP. Jika Kelab ini ingin bernaung dengan DBP, dicadangkan Kelab ini bernaung terus dengan DBP Pusat dan bukan DBP Cawangan Sabah.

Sementara, En. Henry Bating yang lebih awal mengusulkan pertemuan penulis KDM ini berpendapat bahawa sudah tiba masanya Kelab Penulis KDM  ditubuhkan untuk memelihara dan memulihara bahasa dan  budaya melalui sastera pelbagai etnik terutama kaum Kadazan Dusun Murut (KDM) yang merupakan etnik yang terbesar di negeri Sabah. Pelbagai aktiviti boleh dirancang dan dilakukan untuk mencapai tujuan tersebut.

Pandangan berkenaan dipersetujui oleh Pn. Welin Ebal, Pn. Kuniah @ Anthonia Gilung yang turut mencadangkan Kelab ini bernaung di bawah DBP kerana dengan berbuat demikian penulis mempunyai pelbagai kelebihan dan akses tertentu khususnya dari segi khidmat bimbingan penulisan, penerbitan, penterjemahan, pengembangan bahasa, sastera, dan budaya. Selain itu, penerbitan buku khasnya dalam bahasa Kadazan Dusun amat berguna sebagai bahan bacaan tambahan dalam kalangan murid. Ini selaras dengan kedudukan bahasa Kadazandusun yang sudah diajar di sekolah. Kelab yang bakal ditubuhkan ini perlu bernaung di bawah DBP demi keberkesanan aktiviti penterjemahan karya dari bahasa Melayu ke bahasa Kadazan Dusun Murut atau sebaliknya. Karya tersebut amat berguna sebagai bahan bacaan tambahan dan rujukan dalam kalangan murid.

Dengan mengambil contoh di sekolah, Pn. Ony Latifah Osman berpendapat bahawa para pelajar dibenarkan menubuhkan kelab atau persatuan. Misalnya, beliau yang pernah bertugas sebagai guru di beberapa buah sekolah mempunyai pengalaman menubuhkan Kelab Karyawan yang bertujuan mengasah dan menyuburkan bakat penulisan dalam kalangan murid. Sehubungan itu, jika DBP boleh membenarkan penubuhan kelab, maka peluang itu boleh digunakan oleh masyarakat KDM untuk menubuhkan kelab yang bernaung di bawah DBP. Senada dengan pandangan Pn. Ony Latifah ialah Pn. Kathrine Tati dan Pn. Angela Engkuan (yang mewakili Kadazan Dusun (Tatana)) yang berpendapat bahawa Kelab ini boleh memainkan peranan dalam mengekalkan identiti bangsa dan budaya, walaupun anak-anak generasi kini sudah dilanda pergeseran bahasa.

Pn. Rita Robert (Pena Alam) mewakili suku kaum Murut turut bersetuju dengan penubuhan Kelab ini dan bernaung di bawah DBP, demi merealisasikan perkembangan karya sastera pelbagai etnik. Encik Witer Gunik turut bersetuju dengan penubuhan Kelab ini dan seharusnya bernaung di bawah DBP. Kelab ini berperanan sebagai platform untuk menggilap bakat menulis dalam kalangan masyarakat KDM. Ia juga akan menjadi wadah yang sesuai untuk menghasilkan karya yang bermutu sehingga boleh dijadikan sebagai teks sastera yang diajar di sekolah.